Blog ni baru saja tulis tentang “sebuah teksi membawa lumpur, habis semua
terpalit” pada 21 Oktober 2014 yang lalu.
Rupa-rupanya sehari sebelum itu dah berlaku
pun satu kes yang amat memalukan melibatkan teksi limosin KLIA sepertimana yang
dilaporkan dalam The Star edisi 4 November 2014.
Tapi kali ini, dengan imej negara sekali
habis terpalit sebab ia melibatkan pelancong daripada luar negara yang
melahirkan rasa kecewanya melalui surat pembaca kepada The Star.
Kita selalu dengar pemandu teksi ni umpama
duta kecil negara. Sepatutnya mereka inilah golongan barisan paling hadapan
dalam memberikan persepi yang baik tentang imej negara kepada pelancong asing.
Kalau nama Malaysia dikenali sebagai destinasi percutian terbaik, yang
untungnya pemandu teksi juga jika jumlah kedatangan pelancong semakin
meningkat.
Kesian juga dengar luahan hati pelancong ini.
Tentunya ini merupakan pengalaman pahit yang besar kemungkinan dikongsikan
bersama dengan saudara-mara dan rakan-rakan di negara asal mereka. Akibatnya
nama Malaysia juga yang buruk hanya disebabkan oleh seorang pemandu teksi yang
sepatutnya lebih sesuai buat pekerjaan lain. Sama juga, jika kita berpeluang
melancong ke negara lain. Bila balik ke Malaysia, kita akan ceritakan
pengalaman melancong ke negara lain kepada sahabat handai kita dan rekomenkan
destinasi tersebut kepada mereka.
Banyak kali juga saya dengar daripada kawan
pemandu teksi yang selalu dapat bayaran (tips) lebih daripada para pelancong
yang melanggan teksinya sebab suka dan berpuas hati dengan layanan yang
diberikan. Ada kalanya mereka booking hari-hari berikutnya sebab dah selesa dan
rasa selamat serta terjamin.
Cerita menarik yang terbaru daripada rakan
saya, seorang pemandu teksi tentang seorang pelancong berbangsa cina
warganegara Australia yang baru tiba di KLIA sekitar 2 minggu lepas. Kawan saya
ini pada mulanya mengambil pelancong berkenaan daripada KLIA untuk dihantarkan
ke salah sebuah hotel di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Dalam perjalanan
tersebut banyak soalan-soalan terutamanya tentang tempat-tempat menarik
ditanyakan oleh pelancong tersebut kepada kawan saya. Akhirnya, pelancong
tersebut menempah perkhidmatan teksi kawan saya pada keesokan harinya meminta
rakan saya membawa pelancong berkenaan ke tempat menjual durian dan restoran makanan
tradisi Melayu.
Maka tak salah lah pepatah orang tua
dulu-dulu; “orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa…” Selain
tempahan untuk hampir 5 jam berpusing di sekitar Kuala Lumpur pada hari itu,
kawan saya menerima rezeki lebih daripada apa yang dijanjikan pada hari
sebelumnya kerana pelancong tersebut berpuas hati dengan layanan dan apa dia
nikmati pada hari itu.
Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, En. Mohd. Nur
Ismal Mohd. Kamal yang memberikan respon pantas kepada aduan pelancong daripada
Nepal berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai ATS sepertimana laporan
akhbar tersebut. Beliau menyeru kepada ATS dan semua pengguna yang mengalami
pengalaman buruk semasa menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam agar terus
melaporkan kepada pihak SPAD samada melalui e-mel di alamat aduan@spad.gov.my
atau telefon di talian bebas tol 1-800-88-7723 supaya
tindakan sewajarnya dapat diambil. berita penuh di sini
Pemandu teksi seperti ini bukan saja mencalar
imej negara di mata pelancong-pelancong asing, malah mereka mengkhianati
rakan-rakan seperjuangan yang setiap hari mengerah keringat demi menyara
kehidupan keluarga mereka.