Tuesday, October 21, 2014

Sebuah teksi membawa lumpur, habis semua terpalit…

Sejak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ditubuhkan secara rasmi pada 3 Jun 2010, macam-macam usaha dah dibuat untuk baik pulih perkhidmatan pengangkutan awam darat di Malaysia terutamanya pengangkutan awam bandar. Salah satu fokus utamanya adalah perkhidmatan teksi di Lembah Kelang ini yang menjadi antara komponen penting barisan hadapan dalam industri pelancongan negara. 

Saya ada seorang rakan yang terlibat dalam perkhidmatan teksi ini. Saya kenal semua ahli keluarga dan cara kehidupannya serta susah senangnya. Jadi sedikit sebanyak ada juga kisah suka duka pemandu teksi ini melekat dalam memori saya. Kisah melayan kerenah pelancong pun banyak juga yang menarik. Begitu pentingnya duta kecil negara kita ni.

Orang tua Melayu dulu-dulu tidak sesuka hati mencipta pelbagai peribahasa bagi memberikan gambaran dan membawa mesej-mesej tertentu supaya ianya menjadi panduan dan pedoman dalam kehidupan. Antaranya adalah “seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit…”. Begitu jugalah senarionya dengan perkhidmatan teksi di Lembah Kelang ini. “Sebuah teksi membawa lumpur, habis semua terpalit…”

Minggu lepas, SPAD yang juga bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan undang-undang sebagaimana yang dijalankan oleh PDRM dan JPJ telah melaksanakan satu operasi di kawasan-kawasan 'panas' sekitar Kuala Lumpur. Kawasan-kawasan 'panas' ini dikenalpasti melalui risikan dan maklumat daripada orang awam terutamanya pengguna perkhidmatan awam yang dah ‘terkena’. Hasilnya :-

a. Kesalahan tidak menggunakan meter atau caj ikut suka : 15 kes
b. Kesalahan tidak mahu mengambil penumpang : 11 kes
c. Beberapa kes lain-lain kesalahan melibatkan dokumentasi 

Operasi ini diketuai oleh Pengurus Besar Penguatkuasaan SPAD, Mejar Jeneral (B) Dato’ Paduka Che Hasni Che Ahmad (foto di bawah) dengan kekuatan seramai 45 pegawai penguatkuasa SPAD dan dibantu oleh 10 orang anggota PDRM. Beliau sekali lagi dengan tegas bagi amaran keras kepada pemandu yang masih berdegil demi menjaga imej negara di mata pelancong luar serta kredibiliti pengkhidmatan teksi supaya benar-benar dapat dinikmati oleh pengguna pengangkutan awam.


"Selepas ini, bila operasi kami akan terus sahaja sita teksi pemandu yang degil. Pengusaha atau pengendali kena datang ke tempat sita jumpa saya. Kali ini kami akan terus sita saja. Saya tak mahu lagi biarkan pemandu teksi bermaharajalela tidak menggunakan meter. Saya juga nak bagi amaran dan ingatan kepada pemandu teksi yang enggan ambil penumpang. Mereka pun akan dikenakan tindakan yang sama. Kita bagi permit untuk menjalankan perkhidmatan dan pemandu teksi tidak boleh pilih lokasi yang mereka mahu,"- Dato’ Paduka Che Hasni

Namun apa yang lebih penting untuk direnungkan, dek kerana “kerbau yang membawa lumpur” ini, pendapatan dan kebajikan pemandu-pemandu teksi tempatan yang benar-benar menjadikan pekerjaan ini sebagai sumber rezeki untuk keluarga mereka, bakal terjejas. 

Sebagai pengguna dan rakyat yang prihatin, jom kita sama-sama memainkan peranan dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam demi keselesaan bersama. Boleh salurkan segala aduan dan maklumat berkaitan perkhidmatan pengangkutan awam darat melalui hotline SPAD sepertimana di tercatat dalam foto di sebelah ini.

SPAD - Pemandu Teksi - Pengguna, berpisah tiada... kalau semua bekerjasama, Insyaa Allah pasti boleh berjaya...!!!

No comments:

Post a Comment