Thursday, October 23, 2014

Muar State Railway (MSR) - Suatu Kisah Kegemilangan




Lokomotif Muar State Railway
Prolog

Sekitar abad ke-19, sebagai jajahan terbesar dan terpenting, Muar merupakan daerah pertama yang dimajukan di negeri Johor. Aktiviti ekonomi utama penduduknya adalah mengusahakan tanaman gambir, kelapa dan pinang yang bertumpu di kawasan dulunya dikenali sebagai Padang dan berpusat di Parit Jawa.

Kesukaran untuk membawa keluar ke Bandar Muar pada waktu itu menjadi satu cabaran besar dan sedikit sebanyak melambatkan perkembangan aktiviti ekonomi yang menjadi sumber utama pendapatan penduduk di kawasan ini. Keadaan laluan darat yang begitu buruk dan ancaman lanun di sekitar perairan Selat Melaka jika hasil komoditi ini dibawa melalui laut menyebabkan satu inisiatif baru diperkenalkan.

Pada 13 November 1887, satu rundingan di antara Kerajaan Johor yang diwakili oleh Residennya, Ungku Sulaiman dengan Dato' Bentara Luar yang pada masa itu berjawatan sebagai Ketua Jabatan Tanah dan Hal Ehwal Pertanian Daerah Muar telah diadakan bagi membincangkan permasalahan tersebut.

Akhirnya, satu persetujuan telah dicapai untuk membina laluan keretapi yang akan dimulakan pada awal tahun 1889. Pembinaan laluan kereta api ini bukan sahaja bakal memberikan kemudahan kepada penduduk di selatan Bandar Muar untuk membawa keluar hasil pertanian mereka malah membolehkan para pelajar sekolah berulangalik ke sekolah Inggeris di bandar Muar secara percuma.

Keretapi Muar State Railway (MSR) memulakan perkhidmatannya pada tahun1890 dari Jalan Sulaiman di bandar Muar sehinggalah ke Parit Bakar dengan jarak lebih kurang 8km. Pada tahun 1913 ianya dipanjangkan sehingga ke Parit Jawa dengan tambahan jarak 5km dan pada tahun 1914 perkhidmatan MSR dilanjutkan lagi dengan tambahan 6km sehingga ke Sungai Pulai. Perkembangan perkhidmatan keretapi yang signifikan ini menunjukkan betapa pentingnya mod pengangkutan ini kepada aktiviti-aktiviti sosio-ekonomi kepada penduduk di kawasan terlibat.

Pada tahun 1916, DYMM Sultan Johor telah mencadangkan untuk memanjangkan laluan rel sehingga ke bandar Batu Pahat. Tetapi kekangan kemampuan dari aspek teknologi pada masa itu mengakibatkan perkhidmatan yang pada mulanya memberikan keuntungan dan pendapatan yang diperolehi mampu menanggung perbelanjaan operasi, kini bertukar menjadi rugi kerana kos yang besar dan berulang diperlukan untuk mengatasi masalah daripada aspek geografi kerana keadaan tanah gambut di kawasan terlibat yang terlalu lembut. Projek penambahan jarak ini akhirnya dihentikan pada 1917.

Perkhidmatan ini akhirnya banyak merekodkan keuntungan yang berterusan merosot disebabkan kelemahan enjin dan proses membaik pulih stesen serta rel-rel menelan belanja yang besar. Selain daripada itu, pembukaan sebuah jalanraya yang lebih efisien (Jalan Abdul Rahman) yang menghubungkan bandar Muar dengan Parit Jawa pada tahun 1918 juga sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan. Kejatuhan harga getah dunia pada sekitar pertengahan 1918 juga merupakan salah satu faktor signikan yang menyumbang kepada kemerosotan pendapatan.

Kegemilangan MSR bagi penduduk Muar berkubur apabila akhirnya perkhidmatan tersebut dihentikan sepenuhnya pada 1925.

Epilog

Dalam satu siaran akhbar, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar berkata impian untuk melihat perkhidmatan Keretapi Laju KL-Singapura menjelang tahun 2020 bakal menjadi kenyataan dan rundingan dengan pihak kerajaan Singapura telah pun sampai ke peringkat akhir dan akan diputuskan selewat-lewatnya pada suku pertama tahun depan. Berita penuh di sini

Sebagai anak Muar, berita ini tentunya sedikit sebanyak mengembalikan nostalgia kegemilangan perkhidmatan MSR yang memberikan sumbangan besar kepada pembangunan daerah Muar di kala kawasan-kawasan lain di negara ini masih bergelut dengan kaedah pengangkutan tradisional seperti jalan sungai dan sebagainya.

Melalui kajian penulis, kewujudan pekhidmatan keretapi laju ini bakal melengkapkan rancangan transformasi pengangkutan awam darat di bahagian pantai barat selatan Semenanjung Malaysia. Perkhidmatan ini boleh dikatakan sebagai elemen pelengkap kepada proses mengintegrasikan sistem rangkaian pengangkutan awam darat negara yang melangkaui sempadan negeri atau wilayah berbeza.

Cadangan bagi melibatkan lokasi-lokasi seperti Batu Pahat, Muar, Melaka yang pada ketika ini tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan keretapi adalah satu langkah yang tepat terutamanya jika dilihat kepantasan pembangunan di kawasan-kawasan sekitar laluan rel keretapi yang dicadangkan.

Sebagai contoh, pihak berkuasa tempatan bagi daerah Muar yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Daerah Muar Selatan (MDMS) kini telah dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan tentunya ia terjadi disebabkan memenuhi kriteria-kriteria tertentu yang harus dicapai terutamanya dari aspek pembangunan sosial, fizikal dan ekonomi. Daerah Muar secara umumnya dikatakan sebagai sebuah pusat pembuatan perabot yang terbesar di dunia terutamanya melibatkan produk-produk perabot daripada kayu getah. Peningkatan kewujudan kawasan-kawasan perindustrian yang amat signifikan terutamanya di daerah Batu Pahat, Muar dan Ledang (Tangkak) membuka ruang potensi yang amat besar sekiranya perkhidmatan ini menjadi kenyataan. Tidak mustahil suatu hari nanti rel-rel yang dibina untuk perkhidmatan keretapi laju ini juga boleh digunakan oleh gerabak-gerabak yang membawa hasil komersil daripada daerah-daerah yang terlibat untuk dipasarkan ke luar atau akses ke pelabuhan-pelabuhan bagi tujuan eksport selain sebagai alternatif pengangkutan darat yang lebih efisien untuk orang awam.

Penulis juga mempunyai pengalaman agak menarik semasa beratur untuk membeli tiket bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk pulang ke kampung halaman di Muar. Pada masa itu sistem tiket berkomputer di TBS sedang menghadapi masalah dan penumpang terpaksa beratur panjang menunggu giliran untuk membeli tiket kerana takut orang lain mengambil ruang kosong jika ditinggalkan. Beratur di belakang penulis ada sekumpulan 5 orang pelancong (backpackers) daripada Perancis yang sedang dalam perjalanan untuk melancong ke Melaka. Dalam perbualan kami, ada pelancong tersebut ada menanyakan tentang perkhidmatan keretapi ke Melaka. Selepas mendengar rungutan mereka tentang masalah dan kelewatan sistem pembelian tiket tersebut akhirnya penulis mencadangkan agar mereka menaiki perkhidmatan komuter ke Seremban dan kemudiannya menggunakan perkhidmatan bas ekspres atau bas henti-henti ke Melaka. Antara alasan yang penulis berikan adalah mereka boleh menikmati pemandangan lebih menarik terutamanya kawasan-kawasan kampong tradisional Melayu yang terdapat di sepanjang perjalanan tersebut. Cadangan tersebut mendapat sambutan baik dan mereka mengikutinya.

Mengimbau kembali pengalaman tersebut, dengan kewujudan perkhidmatan keretapi laju ini kelak, tentunya pada masa-masa akan datang masalah pelancong tersebut bakal terjawap.

Sekali lagi, sebagai anak Muar, Wawasan 2020 pasti lebih bermakna jika impian ini menjadi realiti… Syabas dan tahniah SPAD…!!!

No comments:

Post a Comment