Tuesday, October 14, 2014

Lt. Jen. Dato' Jaafar Onn (B) Kembali Ke Rahmatullah




 

 

Diberitakan bahawa Lt. Jen. Dato’ Jaafar Onn (B)(gambar di atas), mantan Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia telah kembali ke Rahmatullah malam ini Isnin, 14 Oktober 2014. Beliau merupakan ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) dengan no. keahlian “000002”.

Allahyarham adalah anak kepada Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, adik kepada Perdana Menteri Malaysia Ke-3, Allahyarham Tun Hussein Onn dan bapa saudara kepada Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Mengenang kembali perkenalan saya dengan Allahyarham, banyak cerita menarik tentang Allahyarham Dato’ Onn yang dikongsikan bersama saya semasa bersembang panjang dengan Allahyarham Lt. Jen. Dato’ Jaafar di rumahnya. Ketika itu saya sedang membuat kaji selidik tentang Allahyarham Dato’ Onn kerana dipertanggungjawabkan untuk menerbitkan sebuah dokumentari biografi Dato’ Onn Jaafar untuk program Anak Gemilang Malaysia terbitan bersama pihak Astro dan RTM pada 2007 bersempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50.

Alhamdulillah, dalam program tersebut Dato’ Onn telah terpilih sebagai Anak Gemilang Malaysia berdasarkan dokumentari biografi tersebut yang meraih undian terbanyak penonton dan dibentangkan oleh pembahas Datuk Dr. Ramlah Adam, seorang pakar sejarah dalam episod akhir yang dirakamkan di PICC, Putrajaya serta disiarkan secara langsung oleh pihak Astro dan RTM.

Dokumentari ini adalah penerbitan sepenuhnya yang pertama bagi syarikat produksi Cipta Asia Motion Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 2006. Dokumentari ini kemudiannya memenangi Anugerah Oskar Persatuan Pekerja Filem Malaysia 2007 (PPFM – sekarang dikenali sebagai Profima) bagi kategori Audio Terbaik program TV. Saya sendiri menerima Anugerah Pengarah Terbaik Program Bersiri TV dan editor saya mendapat anugerah Editor TV Terbaik dalam majlis yang sama untuk dokumentari bertajuk Pahlawan terbitan RTM.

Apa yang menariknya, hadiah kemenangan program Anak Gemilang Malaysia sebanyak RM30,000 yang sepatutnya diserahkan kepada waris Dato’ Onn, tetapi Allahyarham Lt. Jen. Dato’ Jaafar minta supaya wang kemenangan tersebut diserahkan kepada Datuk Dr. Ramlah Adam bagi membolehkan beliau melakukan lebih banyak kajian tentang Dato’ Onn. Datuk Dr. Ramlah Adam adalah penulis buku biografi Dato’ Onn.

Selain daripada itu, dalam temu bual saya bersama Allahyarham Lt. Jen. Dato’ Jaafar ada beberapa perkara lagi yang saya kira patut kita renungkan bersama. Antaranya adalah :-

a.  semasa salah seorang daripada abangnya iaitu Abid sedang nazak, Allahyarham Dato’ Onn yang ketika itu menjadi Pegawai Daerah (DO) Batu Pahat, tidak ada di rumah kerana urusan perundingan dengan pihak berbalah di antara pengganas komunis dan kumpulan Kiyai Salleh Selempang Merah.

b.   ketika Allahyarham Dato’ Onn Jaafar meninggal dunia, Allahyarham Dato’ Jaafar tidak ada di Malaysia kerana sedang bertugas bersama pasukan pengaman PBB di Congo. Beliau hanya sempat pulang ke tanah air selepas 3 hari jenazah Allahyarham Dato’ Onn dikebumikan.

c. ketika diceritakan oleh ibunya, Allahyarhamah Datin Halimah semasa tiba di rumah dari Congo, sebelum meninggal dunia Allahyarham Dato’ Onn sempat meninggalkan pesanan iaitu :-

  i. segala kos perbelanjaan menguruskan jenazahnya hendaklah menggunakan duit Allahyarham Dato’ Onn sendiri;
      ii.   jenazahnya hendaklah diusung oleh kaum keluarga; dan
     iii.  Allahyarham Dato’ Onn minta supaya dikebumikan seperti mana rakyat biasa.

Menurut Allahyarhamah Datin Halimah, Alhamdulillah, dua pesanan pertama berjaya dipenuhi walaupun pada ketika Allahyarham Dato’ Onn meninggal dunia, beliau hanya mempunyai wang sebanyak RM30 dalam poket seluarnya yang tergantung di bilik tidur dan RM300 simpanan dalam bank.

Jenazahnya pula diusung oleh kaum keluarga daripada atas rumah sehingga ke tangga hadapan rumahnya dan kemudiannya disambut oleh anggota pasukan keselamatan.

Permintaan ketiga Allahyarham Dato’ Onn tidak dapat dipenuhi kerana Allahyarham Tun Hussein Onn tidak dapat menolak permintaan Perdana Menteri ketika itu Almarhum Tunku Abdul Rahman yang mendesak supaya Allahyarham Dato’ Onn diberikan penghormatan untuk dikebumikan secara penuh istiadat sebagai pahlawan negara atau state funeral.

Mungkin kerana semua yang pernah diceritakan kepada saya serta kejadian-kejadian yang berlaku berkaitan penerbitan dokumentari biografi Dato’ Onn ini menjadikan ianya begitu sentimental bagi diri saya.

Hilang sudah seorang lagi waris dan pejuang bangsa meninggalkan kita. Adakah kita mampu memikul amanah dan tanggungjawab yang sama? Marilah kita sama-sama renung dan fikirkan.


Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment