Wednesday, October 29, 2014

Bila Bos dah turun padang…



Dalam NKRA yang diperkenalkan oleh pentadbiran kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, salah satu bidang yang diberikan perhatian khusus adalah aspek penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam darat di negara ini. Justeru itu sebuah suruhanjaya khusus iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) diwujudkan bagi melaksanakan program transformasi sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih berintegrasi dan efisien demi kemudahan dan keselesaan rakyat Malaysia umumnya.


Walaupun tidak lagi menganggotai barisan menteri kabinet kerajaan persekutuan, tetapi Pengerusi SPAD, Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar masih lagi terbawa-bawa cara kerja berkonsepkan Kepimpinan Melalui Teladan yang diperkenalkan oleh bekas bosnya Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa keduanya menerajui kepimpinan negara.


Tidak dapat dinafikan Malaysia melalui era kegemilangannya sepanjang tempoh tersebut dan banyak kejayaan mampu dicapai hasil usaha kepimpinan ketika itu. Meneruskan tradisi kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat, Pengerusi SPAD ini turun padang bagi meninjau sendiri operasi perkhidmatan awam darat di Lembah Kelang bagi merasai sendiri denyut nadi rakyat seperti mana selalu yang diwar-warkan oleh YAB Dato’ Sri Najib.


Sebagai pengguna perkhidmatan awam darat, penulis berharap agar langkah Pengerusi SPAD ini menjadi contoh tauladan kepada semua peringkat lapisan kakitangan SPAD yang dipertanggungjawabkan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Daripada pengalaman penulis sendiri yang menggunakan pengangkutan awam sejak datang ke Kuala Lumpur pada 1990, kualiti pengangkutan awam kini tentunya jauh lebih baik berbanding pahit getir dan bersesak-sesak berdiri dalam bas Toong Fong seawal jam 6.00 pagi untuk tiba ke pejabat sebelum jam 9.00 pagi.

Tahniah Tan Sri dan SPAD…!!!

No comments:

Post a Comment