“Sayang semuanya sudah
terlambat, tak guna engkau tangiskan lagi…. Sayang semuanya, sudah terlambat,
tak guna engkau tangiskan lagi….”
Itulah
antara bait-bait senikata dalam lagu Semuanya Sudah Terlambat ciptaan Dato’
Ahmad Nawab dan lirik oleh Juwie. Lagu nyanyian Shidee ini yang popular di awal
90an begitu akrab dengan penulis. Maklumlah pada masa itu zaman lagu-lagu cinta
tersangat cepat popular dah mudah melekat di bibir menjadi siulan kebanyakan anak
muda. Kerana cintalah maka lagu-lagu cinta berbahasa Melayu malah lagu-lagu Inggeris
pun mampu dihafal dan kemudiannya menjadi fasih serta penuh faham maknanya.
Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong |
Tapi itu hanya sekadar hiasan dan
mukadimah tentang apa yang nak dinyatakan dalam tulisan hari ini. Merujuk
kepada satu kajian yang dijalankan oleh Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan
Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Dato’ Dr. Teo Kok
Seong, bahawa seramai 604 orang pelatih PLKN daripada kaum Cina dan India
dikategorikan langsung tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu. Kajian ini
dibuat ke atas 14,000 orang pelatih daripada 79 pusat latihan PLKN pada 2010. Lalu,
bagaimana mereka boleh lulus SPM? Ini yang peliknya. Laporan Berita di sini
Secara umumnya setiap warganegara di Malaysia ini akan mengikuti sistem persekolahan di peringkat pra-sekolah sekurang-kurangnya setahun, sekolah rendah (6 tahun) dan sekolah menengah (5 tahun). Maka jumlah setiap individu warganegara Malaysia di alam persekolahan umumnya adalah antara 12-13 tahun. Walaupun ada di kalangan pelajar yang mengikuti sistem persekolahan jenis kebangsaan cina atau tamil yang menggunakan bahasa pengantar lain, tetapi subjek Bahasa Melayu adalah subjek wajib lulus di semua peringkat ujian dan peperiksaan dalam tempoh tersebut.
Sebagai
rakyat di negara Malaysia ini juga, tidak ada suatu kaum pun yang tinggal
bersendirian tanpa bercampur dengan kaum lain. Jadi medium perhubungan di
antara sesuatu kaum dengan kaum yang lain biasanya adalah bahasa Melayu atau
bahasa Inggeris. Namun untuk mendakwa bahawa mereka tidak pernah berurusan
dengan sesiapa juga sepanjang hidup mereka di Malaysia ini tanpa menggunakan
bahasa Melayu, adalah sesuatu perkara yang mustahil. Justeru itu mengapakah 604
pelatih ini dikategorikan tidak boleh bercakap bahasa Melayu?
“Mengapa engkau tak
setia dalam percintaan…”
Kebanyakan
daripada kita selalu dengan mudah mendakwa serta melafazkan secara zahirnya
perasaan cinta kepada agama, bangsa dan negara. Tetapi adakah kita benar-benar
cinta dan setia kepada negara jika bahasa rasmi negara yang kita cintai ini tidak mampu kita
kuasai atau dipertuturkan dengan sempurna? Tepuk dada, tanyalah selera…
“Apa terjadi biarkan,
kutanggung sendiri…”
Datuk Noor Ehsanuddin bersama pelatih PLKN |
Sebagai
orang yang dipertanggungjawabkan menerajui PLKN tentunya Pengerusi
Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Noor
Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid tidak akan
membiarkan perkara ini ditanggung sendiri oleh para pelatih PLKN. Sebab itu
dalam kenyataannya baru-baru ini wujud kemungkinan PLKN akan memasukkan
pelajaran Bahasa Melayu sebagai salah satu silibus dalam modul latihan PLKN.
Mungkin dalam
menyatakan cinta kepada seseorang yang kita minati, boleh jadi terlambat lalu
bunga pujaan hati dipetik orang. Tetapi dalam konteks menuntut ilmu, tidak ada
istilah terlambat. Justeru itu, untuk adik-adik yang bakal menyertai PLKN
rebutlah peluang menuntut segala ilmu yang ditawarkan oleh PLKN supaya nanti
lafaz cinta anda kepada negara jauh lebih bermakna.
No comments:
Post a Comment