Saturday, October 18, 2014

Kadar tambang bas sekolah - kini kuasa di tangan anda




Dalam kehidupan seharian, kita biasa dengar ungkapan “kalau nak selesa, kenalah bayar lebih..”  atau “barang yang berkualiti memang selalu lebih tinggi harganya…” Situasi sebegini kebiasaannya merujuk kepada urusan jual beli bagi pengguna untuk mendapatkan produk atau perkhidmatan yang paling optimum bersesuaian dengan setiap nilai wang yang dibelanjakan.

Mulai Januari 2015, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersetuju untuk menamatkan peraturan penetapan harga siling tambang bas sekolah. Harga tambang bas sekolah kini terletak di tangan stakeholders sendiri untuk menentukan kadar tambang bersesuaian berdasarkan kualiti perkhidmatan, jarak daripada rumah murid ke sekolah dan pelbagai lagi faktor yang perlu diambil kira mengikut kesesuaian serta lokaliti perkhidmatan yang diberikan. Berita penuh di sini

Ibu bapa kini mempunyai hak untuk membuat rundingan dan menggunakan kuasa sebagai pengguna bagi memilih serta menentukan bayaran berpatutan kepada perkhidmatan yang diberikan.

Pengendali perkhidmatan bas sekolah juga diberikan ruang bagi menawarkan pelbagai pilihan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan bersesuaian dengan mengambil kira kos yang ditanggung bagi perkhidmatan tersebut.

Pihak sekolah juga kini boleh memainkan peranan lebih berkesan bagi memberikan input-input yang bersesuaian dalam menentukan kadar tambang berpatutan dan menepati konsep value for money.

Walau bagaimanapun, pihak SPAD masih lagi akan berperanan sebagai pemantauan keadaan dalam memastikan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas kelonggaran yang diberikan ini.

Langkah ini diharap dapat menarik lebih ramai lagi pengendali perkhidmatan bas sekolah tanpa lesen untuk mendaftar dengan pihak SPAD yang angkanya kini mencecah hampir 30,000. Sehingga kini hanya 15,000 pengendali bas sekolah yang sah dan berdaftar dengan SPAD.

Dalam pada itu SPAD juga memperkenalkan Skim Insurans Murid bagi melindungi murid semasa menaiki bas sekolah. Buku Panduan SPAD mengenai keselamatan untuk pengendali bas sekolah juga akan dikeluarkan dalam masa terdekat sebagai rujukan kepada setiap pengendali bas sekolah. 

Pesanan penulis, gunakanlah peluang ini sebaik mungkin. Paling penting niat kena betul-betul ikhlas kerana setiap pekerjaan adalah suatu ibadah sekiranya berada di landasan yang betul. Insyaa Allah…

No comments:

Post a Comment